KISAH
LUQMAN AL-HAKIM DENGAN TELATAH MANUSIA
Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim
telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya
mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun
berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya
dibiarkan berjalan kaki."
Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman
pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat
yang demikian, maka orang di passar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya
berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab
anak itu."
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke
atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula
berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh
menyiksakan himar itu."
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman
dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata,
"Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."
Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah,
Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah
mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari
percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan
melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang
menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya,
"Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi
fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga
perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah
tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya),
dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka
merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
Riwayat Al Hakim
Berbahagialah Hidup Di Dunia Bagi Orang Yang
Mengumpulkan Kebajikan Untuk Bekalan Hari Akhiratnya
Sehingga Ia Memperoleh Redha Tuhannya
Dan Celakalah Hidup Di Dunia Bagi
Orang Yang Dipengaruhi Oleh Dunia
Sehingga Ia Terhalang Dari Amalan Untuk Akhiratnya
Dan Lalai Untuk Memperoleh Redha Tuhannya
Riwayat Al-Hakim
NASIHAT LUQMAN AL-HAKIM
Hai anakku! Orang-orang yang selalu menyediakan dirinya untuk
menerima nasihat maka dirinya akan mendapat penjagaan daripada Allah;orang yang
membolehkan dirinya insaf dan sabar menerima nasihat orang lain, tandanya ia
akan sentiasa menerima kemuliaan daripada Allah; berasa hina diri dlm ibadat
dan bertaat kepada Allah Taala akan menimbulkan rasa lebih dekat kepadaNya dan
boleh menghindarkan diri daripada maksiat.
Hai anakku! Jauhkanlah dirimu daripada berhutang; sesungguhnya
berhutang itu menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
Hai anakku! Kalau engkau berteman, tempatkanlah dirimu sebagai
orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripada temanmu itu, dan pasti dia akan
selalu mengharapkanmu.
Hai anakku! Engkau sudah merasakan bagaimana beratnya membawa
batu yang besar, besi yang berat dan lain-lain yang sangat berat, tetapi akan
lebih berat lagi dari itu, bila kau mempunyai tetangga yang jahat.
Hai anakku! Engkau jauhilah bersifat dusta, sebab berdusta itu
enak sekali mengerjakannya, seperti enaknya memakan daging burung; walau
sedikit sahaja berdusta, akibatnya tetap akan memberi bahaya.
Hai anakku! Kalau bertemu dua perkara, antara menjenguk orang
mati dengan menghadiri majlis perkahwinan maka pergilah menjenguk orang mati,
sebab akan mengingat diri pulang ke kampung akhirat, sedang menghadiri pesta
kahwin hanya mengingatkan diri kepada kesenangan duniawi sahaja.
Hai anakku! Janganlah engkau makan sampai berlebih-lebihan.
Sesungguhnya memberi makanan yang engkau makan sampai kenyang berlebih-lebihan
itu kepada seekor anjing adalah lebih baik daripada engkau memakannya.
Hai anakku! Janganlah engkau terus-menerus menelan kerana
manisnya sesuatu, dan jangan pula lekas engkau muntahkan kerana pahitnya..(yang
manis itu biasanya mendatangkan penyakit, sedang yang pahit bisa menjadi ubat)
Hai anakku! Makanlah makanan bersama-sama dengan orang-orang
yang bertaqwa kepada Allah, rundingkanlah urusanmu dengan alim ulama (dengan
cara meminta nasihat kepadanya)
Hai anakku! Bukanlah baik namaya bila engkau selalu mempelajari
segala macam ilmu yang belum engkau ketahui, sedang ilmu yang sedang diperoleh
belum lagi engkau amalkan. Hal seperti ini tak ubahnya seperti perbuatan
seseorang yang mencari kayu api, setelah dikumpulkannya lalu dipikulnya tetapi
dia tak larat membawanya, namun dia terus menambah lagi.
Luqmanul Hakim
Munsyid : Mestica
Citra hidupmu begitu mempesona
Mutiara hikmah nasihatmu berharga
Pada kata yang tersurat
Ada maksud yang tersirat
Suri tauladan buat panduan umat
Kau tersendiri dalam menabur bakti
Punyai misi untuk dicontohi
Ketinggian budi dan keindahan pekerti
Mengangkat dirimu semulia para nabi
Peribadimu Luqmanul Hakim
Cermin suluh peribadi mukmin
Kerna kepintaran dan kecerdikan kau disegani
Jati dirimu Luqmanul Hakim
Menjadikan kau insan terpilih
Segalanya diharungi dengan gigih
Terkadang dirimu bagaikan tersisih
Di sisi Tuhan kau tak pernah terpinggir
Biarpun lelah mendera
Kau tidak pernah mengalah
Menempuh ranjau penuh tabah
Terpahat memoirmu
Di kanvas sejarah
Tercatat di Al-Quran dalam satu surah
No comments:
Post a Comment