1. Keuntungan Adalah Sasaran yang kedua
Seseorang peniaga muslim itu, sewajarnya tidak menjadikan
keuntungan sebagai sasaran utama perniagaan beliau. Sebaliknya, beliau perlu
menjadikan keredhaan Allah SWT itu sebagai punca beliau menjalankan perniagaan.
Sebaikya sebelum memulakan perniagaan, perbetulkan niat, niatlah untuk berbakti
kepada masyarakat agar terlaksananya fardhu kifayah yang baik sesama umat
islam.
Dengan menjadikan keredhaan Allah SWT sebagai sasaran
pertama perniagaan, peniaga-peniaga muslim akan mampu untuk melakukan
perkara-perkara terpuji lain di dalam perniagaan mereka dan pastinya perniagaan
akan mendapat keberkatan dan bertambah maju, Ini juga adalah ujian, besbarlah
dengan ujian nikmat ini, selalulah bersyukur dan malu kepada pemberi rezeki
ini.
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin,
diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang
pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh.(Itu telah menjadi) Janji
yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang
lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual
beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah At
Taubah, Ayat 111)
2. Berniaga Mengikut Sunnah
Perniagaan mengikut sunnah junjungan besar Rasullullah SAW
adalah perkara yang perlu diikuti oleh kita semua sebagai seorang peniaga
muslim. Rasulullah ketika berniaga, tidak pernah menyakiti hati peniaga lain
dan tidak pernah pula berlaku kurang jujur dengan pelanggan. Hal ini diakui
oleh mereka yang pernah berurusan dengan baginda SAW sebelum baginda diangkat
menjadi rasul lagi.
Dalam satu peristiwa, seorang peniaga bernama Saib bin Ali
Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat Saib datang, Nabi Muhammad berkata,
“Mari, mari. Selamat datang saudara saya, dan rakan niaga saya yang tidak
pernah bertengkar,” kata Nabi Muhammad.
Saib membalas dengan berkata, “Kita tidak pernah bertengkar
sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan.”
Ketika baginda berniaga, baginda menyatakan harga modal yang
diperoleh kepada bakal pembeli. Kemudian, baginda menyatakan pula harga jual
kepada bakal pelanggan tersebut. Ini merupakan satu contoh perlakuan terpuji
Rasulullah yang perlu kita ikuti ketika hendak berniaga.
“Dari Anas Radiallahuanhu berkata Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam : Barangsiapa yang merasa penat kerana bekerja untuk mencari
rezeki yang halal, nescaya terampun segala dosanya”.Riwayat Al-Imam As-Suyuti)
3. Berkata Benar dan Berlaku Jujur
“Dari Abi Sahid dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda
bersabda : Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi,
orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat
Al-Imam At-Tarmizi).
Dalam konteks ini, kejujuran ditekankan kerana kejujuran
merupakan antara elemen terpenting dalam perniagaan.
Pada suatu hari, Nabi Muhammad berjalan-jalan di kawasan
pasar bandar Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual
buah-buahan yang dilonggok-longgokkan.
Rasulullah memeriksa buah-buahan itu dengan memasukkan
tangannya ke dalam satu longgokan.
Kemudian Nabi Muhammad menarik tangannya keluar dan
menunjukkan jarinya yang basah kepada peniaga itu.
“Apa ini saudara ?” tanya Nabi Muhammad. “Terkena hujan tuan,” kata peniaga itu.
“Mengapa saudara tidak letakkan buah-buahan yang basah itu
di sebelah atas supaya orang dapat melihatnya ?” kata Nabi Muhammad. Kemudian
baginda berkata lagi,“Barang siapa menipu, dia bukan pengikut saya.”
4. Buka Ruang Pada Pandangan Serta Kritikan Yang Membina
Walaupun kritikan daripada pelanggan adalah seperti “pil
pahit” yang harus ditelan, setiap peniaga muslim harus ingat bahawa yang pahit
itu tidak semestinya racun, manakala manis tidak semestinya penawar. Banyak
benar contoh yang boleh mengaitkan penawar itu dengan sifat ‘pahit sedikit’.
Kritikan yang berasas dan membina merupakan keperluan dalam
perniagaan yang kadang-kadang tidak dipandang oleh peniaga Muslim. Mereka
menganggap kritikan itu lebih membawa keburukan kepada perniagaan mereka.
Sebenarnya mereka tersilap. Dengan kritikan yang membina itu, seorang usahawan
itu bukan sahaja boleh bertahan lebih lama, bahkan mampu untuk mengembangkan
lagi perniagaan beliau ke medan yang lebih luas.
5. Sasarkan Matlamat Lebih Tinggi untuk islam
Usahawan muslim sewajarnya tidak berada di takuk yang sama.Sewajarnya dengan pelancaran produk baru,target perniagaan bagi jangka waktu
sederhana serta jangka waktu panjang juga telah dilaksanakan.
Ini juga bererti, perniagaan yang diusahakan oleh usahawan
muslim perlu mempunyai sistem yang mantap.Sistem yang tersusun dan saling
melengkapi antara satu sama lain.
Firman Allah SWT di dalam surah As-Saff ayat 4 yang
bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjuang
dijalanNya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu
bangunan yang tersusun kukuh.”
6. Bekerjasama Dengan Muslim Lain Dalam Pasaran Anda
Ini mungkin perkara yang sangat sulit bagi sesetengah
usahawan kerana adanya sifat saling tunjuk menunjuk, tuduhan demi tuduhan dan
teknik menikam dari belakang sering menjadi pilihan sesetengah muslim yang
memasarkan produk yang sama dengan pesaingnya. Tapi ini sama sekali bukan etika
ekonomi seorang muslim harus bekerja.
Persaudaraan dalam umat tidak wajar dilupakan. Pertimbangkan
untuk membentuk sebuah kesatuan usahawan Muslim yang terdiri daripada peruncit
atau pengedar serta boleh sama-sama berkongsi pengalaman, dan belajar untuk
bekerja sama. Kerjasama ini tidak lain dan tidak bukan dapat menguntungkan
pengguna Muslim itu sendiri, dan akhirnya menguntungkan perniagaan Muslim
sendiri.
7.Jangan Menjual Benda-Benda Haram
Harta yang halal membawa keberkatan dalam hidup, Ingatlah
bahawa orang yang mendapat rezeki dari sumber yang tidak halal akan membawa
akibat yang buruk seperti rezeki yang diperolehi tiada keberkatan di dalamnya,
hilang kepercayaan orang ramai kepadanya, tidak akan diterima doanya, akan
mendapat tempat yang hina di sisi Allah S.W.T dan dimasukkan ke dalam api
neraka.
Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya : “Dari Khaula Al-Ansariah R.A ia berkata : Aku mendengar Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :Bahawasanya orang yang mencampur adukkan
harta Allah dengan jalan yang tidak halal, maka mereka akan mendapat seksaan
api neraka pada hari kiamat kelak”.(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
P/S: Inilah antara perkara asas menjadi peniaga muslim
seterusnya menjadi usahawan mukmin yang berjaya di dunia dan akhirat, jauhi
perkara yang haram, meragukan dan memastikan segala kerja dilaksanakan
semata-mata kerana berniaga dengan Allah S.W.T, dan ingatlah segala keuntungan
atau kerugian adalah dariNya,kita sebagai hamba hanya mengusahakan sahaja apa
yang sudah ada,dan jika mendapat untung,bersyukurlah dan berkongsilah
nikmat-nikmat Allah dan jadilah pemurah,dan jika rugi,besabarlah dan redhalah
di atas ujian yang Allah berikan,berniaga ini melatih kesabaran hati,penambah
baikkan akhlak diri serta memohon pertolongan dariNya yang Maha kaya raya,Amin.
No comments:
Post a Comment