Monday, 23 June 2014

ADMIRAL TERKENAL UTHMANIYAH : KHAIRUDDIN PASHA BARBAROSSA

                 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّهِ وَبَرَكَاتُهُ


MUKADIMAH

Khairuddin Pasha: Admiral Uthmaniyah yang digeruni Angkatan Laut Eropah
Khairuddin Pasha "Barbarossa" ialah seorang panglima islam yang berjuang di Laut Mediterranean dan kawasan sekitarnya pada hujung abad ke-15.

Beliau adalah putera ketiga kepada Panglima Yaakub dan lahir pada 1478 di Benova Pulau Lesbos.

Digelar sebagai "Lanun Berjanggut Merah" oleh angkatan laut eropah kerana keadaan Khairuddin yang berketurunan Greek dan mempunyai janggut berwarna kemerah-merahan.

Beliau berjuang bersama Abangnya bernama Oruc yang turut sama memiliki janggut merah, Angkatan Laut Eropah menggelarkan mereka sebagai "Dua Lanun janggut merah bersaudara / The Barbarossa Brothers"

Nama sebenarnya adalah Hizir Bin Yaakub Bin Yusuf, Gelaran "Khairuddin" bermaksud "Yang Memiliki Keperibadian atau Agama yang baik"

Gelaran tersebut dikurniakan oleh Sultan Sulaiman I Al-Qanuni dan juga gelaran "Pasha" iaitu gelaran khusus kepada setiap Panglima dan Pegawai Tertinggi Turki Uthmaniyah.

Beliau juga dilantik sebagai Laksamana Agung Tentera Laut Turki Uthmaniyah, Gabenor Algeria dan Ketua Angkatan Laut Afrika Utara.





ANAK KEPADA SEBAIK-BAIK TENTERA SULTAN MUHAMMAD II AL-FATEH

Ayah kepada Pemimpin berwibawa ini bernama Yaakub bin Yusuf, Beliau merupakan bekas tentera elit Turki Uthmaniyah yang dikenali sebagai "Janissari".

Ayah beliau merupakan bekas Ketua komando Janissari (Tentera darat) dan juga bekas Penasihat keselamatan dan ketenteraan kepada Sultan Beyazid II.

Panglima Yaakub bin Yusuf pernah berjuang bersama-sama dengan Sultan Muhammad II Al-Fateh bagi menakluki Kota Kostantinopel pada tahun 1453 masehi.

Sultan Muhammad Al-Fateh menghadiahkan sebuah kampung di Pulau Lesbos kepadanya bernama kampung Benova.

Peta Pulau Lesbos


ANAK-ANAK PANGLIMA YAAKUB

Panglima Yaakub memiliki beberapa orang anak hasil perkahwinannya dengan Sakinah iaitu:

  • Ishak Bin Yaakub
  • Oruc Bin Yaakub
  • Hizir Bin Yaakub
  • Ilyas Bin Yaakub
  • Aminah Binti Yaakub
  • Awatif Binti Yaakub




SYARIKAT DAGANG KELUARGA YAAKUB


Selepas bersara daripada menjadi tentera Janissari Uthmaniyah, Panglima Yaakub berhijrah mendiami Pulau Lesbos di Kampung Benova.

Beliau memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjadi pemborong menjual hasil laut kepada penduduk sekitar Pulau Lesbos.

Setelah itu beliau memulakan perniagaan berskala besar dengan menubuhkan Syarikat Dagang Keluarga Yaakub, untuk permulaan beliau ke Istanbul untuk membeli Kapal dagang.

Sultan Beyazid II (Anak kepada Sultan Muhammad II Al-Fateh) menghadiahkan sebuah Kapal Perang lama dan tiga orang pembantu perkapalan terlatih kepada Panglima Yaakub untuk memulakan perniagaannya.

Panglima Yaakub mula melatih anak-anaknya iaitu Oruc dan Hizir dibantu oleh tiga orang pembantu perkapalan terlatih iaitu UmarAyub dan Hassan untuk perniagaan perdagangan kapal serta tidak ketinggalan melatih mereka akan ilmu asas peperangan di darat dan laut.

Syarikat Dagang Keluarga Yaakub menjalankan urusan perdagangan membekalkan bekalan bahan mentah dan perabot mewah disekitar Pulau Aegea dan kepulauan greek sehingga ke Mesir,Syiria dan Turki.

Antara nama-nama kapal dagang dan kapal perang Syarikat dagang Keluarga Yaakub ialah:

  • Al-Fateh
  • Beyazid II
  • Salahuddin Al-Ayubi
  • Khalid Al-Walid
  • Benova
  • Yaakub
  • Ismail


"Sememangnya kita kadang kala lupa akan musuh-musuh kita, tetapi musuh-musuh kita tidak sama sekali melupakan kita" 

(Kata-kata Panglima Yaakub kepada anak-anaknya)


PANJI-PANJI ANGKATAN LAUT KHAIRUDDIN PASHA



Khairuddin Pasha sempat berkhidmat dengan tiga Sultan Turki uthmaniyah iaitu Sultan Beyazid II, Sultan Salem I dan Sultan Sulaiman I Al-Qanuni.

Sebelum ini Khairuddin Pasha menjalankan perniagaan perdagangan dibawah syarikat perkapalan Ayahndanya, seterusnya beliau mula berkhidmat sebagai pembantu Ayahndanya ketika di Istanbul (Pembantu Ayahndanya sebagai Penasihat keselamatan dan ketenteraan kepada Sultan Beyazid II), seterusnya beliau bertugas sepenuh masa dalam Angkatan Laut Turki Uthmaniyah menjaga mempertahankan kawasan peraian Turki Uthmaniyah semenjak lewat zaman Sultan Beyazid II sehingga zaman Sultan Sulaiman I Al-Qanuni.

Zaman kemuncak kegemilangan beliau adalah pada zaman Sultan Sulaiman I Al-Qanuni dan beliau diiktiraf sebagai Panglima Agung Empayar Turki Uthmaniyah.

PANGLIMA TURGUT REIS PEMBANTU KHAIRUDDIN PASHA


Panglima Turgut Reis (1485-1565) adalah antara sahabat baik kepada Khairuddin Pasha dan pernah berjuang bersama-sama menentang Angkatan Laut Eropah dan Perang Salib II.

Panglima Khairuddin Pasha pernah membebaskannya daripada tahanan Sepanyol, Panglima Turgut Reis pernah berkhidmat dibawah Khairuddin Pasha dan Anaknya Hassan Pasha.


ANTARA KEJAYAAN KHAIRUDDIN PASHA



1509 

Berjaya menghalang serangan tentera sepanyol ke atas Bougie, Oran dan Algiers.


1511 

Menyerang kawasan di selatan Itali.


1512 

Mengusir tentera Sepanyol dari Bougie.


1514 

Berjaya menawan Jaijil.


1516 

Berjaya menawan Kota Elba.


1518 

Abangnya Ishak dan Oruc gugur syahid dalam pertempuran dengan tentera Sepanyol di Tlemcen.


Disember 1518 

Berjaya menawan semula Tlemcen dan menuntut bela diatas kematian kedua abangnya.


1519 

Menewaskan gabungan angkatan laut sepanyol dan Itali.


1521 

Menyerang Kepulauan Balearik dan berjaya menawan beberapa buah kapal perang Sepanyol.


1523 

Berjaya mengusir Pahlawan St. John (Knight) dari Pulau Rhodes.


1527 

Menyerang dan membinasakan beberapa buah kubu di sepanjang pantai Itali dan Sepanyol.


1529 

Menawan kubu tentera Sepanyol di Pulau Penon.


1532 

Menyerang Sardinia, Corsica,Kepulauan Montecristo, Elba dan Lampedusa.


1534 

Menawan semula Coron, Patras dan Lepanto dari Sepanyol


1537 

Menyerang Hasburg, Otranto dan Ugento.


1538 

Berjaya menewaskan angkatan laut salib yang dibentuk oleh Pope Paul III di Preveza yang membabitkan tentera gabungan Sepanyol,Itali,German dan lain-lain.


1539 Sehinggan 1544  

Berjaya menewaskan beberapa angkatan musuh dan menawan beberapa pulau dan kawasan penting di laut Mediterranean.

1545

Mengambil keputusan bersara dan tinggal di sebuah istana di tepi pantai Buyukdere berhampiran Istanbul. meninggal dunia pada tahun 1546.

Gambaran Pertempuran di tengah lautan pasukan Khairuddin Pasha dengan Angkatan Laut Eropah

 PENYELAMAT IMAN UMAT ISLAM ANDALUSIA

Istana Al-Hambra
Pada Tahun 1492 masehi, Granada wilayah dan kota terakhir umat islam di Sepanyol telah jatuh secara rasmi ke tangan tentera kristian Sepanyol di bawah gabungan pasukan Aragon dan Castille yang dipimpin oleh Raja Ferdinand II dan Ratu Isabella.

Pemerintah terakhir Granada iaitu Amir "Muhammad XII" tidak dapat mempertahankan lagi Granada setelah dikepung oleh tentera Raja Ferdinand II yang sangat ramai dan terpaksa menyerah diri serta membuat perjanjian dengan Raja Ferdinand II.

Perjanjian tersebut dikenali sebagai "Dekri Al-Hambra"

Antara isi kandungan Perjanjian Raja Ferdinand II dengan Amir Muhammad XII iaitu:
  • Amir Muhammad XII bersetuju turun dari takhtanya.
  • Baginda sekeluarga bersetuju untuk keluar dari bumi Sepanyol.
  • Raja Ferdinand II berjanji tidak mengapa-apakan penduduk Granada.
  • Orang islam dibenarkan untuk terus tinggal di Granada dan tidak dihalang daripada meneruskan ajaran islam. 
Selepas peristiwa tersebut, maka tamatlah pemerintahan Islam di bumi sepanyol berkurun lamanya semenjak dari zaman Bani Umaiyah, 800 tahun Islam bertapak di bumi Andalusia.

Setelah menguasai keseluruhan Sepanyol, Raja Ferdinand II mengangkat dirinya sebagai Raja Sepanyol dan isterinya Ratu Isabella menjadi Pemaisuri Sepanyol.

Setelah beberapa tahun memerintah, Raja Ferdinand II bertindak membatalkan perjanjian Dekri Al-Hambra yang dibuat dengan Amir Muhammad XII.

Raja Ferdinand II telah mengeluarkan sebuah perintah baru kepada seluruh jajahan taklukannya di Sepanyol iaitu:

"Kepada semua orang islam di Sepanyol, kamu semua dengan ini diperintahkan untuk meninggalkan agama Islam dan memeluk agama Kristian memandangkan Kristian adalah agama rasmi di Sepanyol, Jika kamu enggan memeluk agama Kristian, kamu hendaklah meninggalkan bumi Sepanyol ini"

Ratusan ribu umat islam di Sepanyol menangis setelah membaca perintah baharu yang dikeluarkan itu, mereka berdoa kepada Allah berbunyi:

"Wahai Tuhan Kami, Ampunilah kami atas kelalaian kami, Janganlah Engkau biarkan kami terus menzalimi diri kami sendiri, Wahai Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Pemberi Maaf, Ampunilah kami. Selamatkanlah kami daripada musibah ini, Berikanlah kami jalan keluar daripada masalah yang kami hadapi ini"


Umat Islam di Andalusia menjadi semakin terdesak, masing-masing telah berusaha mencari jalan keluar dairpada musibah ini dengan mengirim berita kepada saudara-mara yang masih berada di Afrika Utara.

Antara yang menerima Surat tersebut adalah Syeikh Ibrahim dari Maroko, beliau mempunyai sejumlah 30 orang saudara mara di Andalusia.

Antara isi kandungan Surat tersebut:


"Kepada Tuan Syeikh Ibrahim, Kami saudara-mara di sini merayu agar kami dibawa keluar dari bumi Andalusia. Kini Andalusia telah diperintah oleh Raja Kristian, Kami telah diperintahkan untuk memeluk agama Kristian, jika kami enggan, kami terpaksa keluar dari bumi Andalusia. kami ingin kekal menjadi orang islam. tolong usahakan agar kami dibawa keluar dari Andalusia.


- Saudara-mara di Andalusia yang ketakutan - 

Surat seterusnya:

"Assalamualaikum Tuan Syeikh Ibrahim yang dihormati, tolong usahakan untuk mengeluarkan kami dari bumi Andalusia secepat mungkin. Orang Kristian di sini semakin hari semakin bertindak kejam terhadap orang Islam, Kami hanya dibenarkan untuk meninggalkan bumi Andalusia dengan syarat kami meninggalkan segala harta benda kami. Harta-harta tersebut dikatakan bukan milik kami, tetapi milik rakyat Andalusia yang beragama Kristian. Kami bukan rakyat asal Andalusia. kami hanyalah bangsa pendatang. kami tidak boleh membawa apa-apa kecuali apa yang ada dibadan kami. jadi bagaimana mungkin kami mampu mencari pelaut-pelaut yang boleh membawa kami ke Afrika Utara dan dengan apa kami hendak membayarnya? Tolong bantu saudara-saudara seIslam di bumi Andalusia ini".

Syeikh Ibrahim membuat usaha iktihar dengan menyeru umat islam dari belahan dunia islam yang lain agar berjihad membantu umat islam Andalusia daripada terus dihimpit mimpi ngeri.

Beliau bergerak keserata Afrika utara, di Algeria, Moroko, Tunisia, Mesir dan ke Istanbul Turki.

Seorang Penasihat keselamatan dan ketenteraan Turki Uthmaniyah bernama Panglima Salleh yang merupakan Abang ipar kepada Oruc dan Hizir "Khairuddin Pasha" telah mendengar seruan jihad membantu saudara islam di Andalusia, beliau membantu Syeikh Ibrahim memperkenalkan kepada Oruc dan Hizir untuk membantu misi menyelamat umat islam di Andalusia.



Sebelum itu, Hizir Khairuddin Pasha pernah bermimpi bertemu ayahnya dan berpesan kepada Hizir:

"Gendang jihad sudah dipalu, Berpadu tenagalah dengan kandamu Oruc. Tentanglah musuh-musuh Islam dan belalah orang Islam yang teraniaya!"


Misi menyelamatkan Iman Umat Islam Andalusia berjalan, Hizir dan Oruc memulakan operasi menyelamat dengan berkat doa Syeikh Ibrahim yang turut serta dalam misi tersebut.

Operasi pertama menyelamatkan Umat Islam Andalusia berjalan dengan kira-kira 5,000 orang Islam Sepanyol berjaya diangkut dan dihantar ke Afrika Utara.

Kejayaan misi pertama diteruskan lagi dengan misi-misi seterusnya, sehingga terbentuklah berpuluh-puluh operasi menyelamat dalam tempoh sehingga enam tahun. keseluruhan jumlah Umat Islam Andalusia yang berjaya diselamatkan sekitar 50,000 orang.

Kejayaan Oruc dan Hizir menyelamatkan umat Islam Andalusia ini menjadi buah mulut dan kebanggaan seluruh Umat Islam.

Kata-kata Umat Islam Andalusia yang berjaya diselamatkan oleh Angkatan Oruc dan Hizir:

"Kamu semua adalah para pejuang dan pembela Islam yang sebenarnya. kamu sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan kami semua tanpa mengharapkan balasan apa-apa. Jasa kamu semua akan kami kenang sepanjang hayat". 

Operasi menyelamat ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Salim I, baginda juga mengirimkan bantuan dan turut bersyukur berbangga dengan kejayaan Angkatan Laut Uthmaniyah menyelamatkan saudara seIslam di Andalusia.

Operasi lain turut berlaku semasa pemerintahan Sultan Sulaiman I Al-Qanuni, semasa itu Hizir Khairuddin Pasha menjadi Panglima Agung angkatan tentera laut Uthmaniyah, dibawah kelolaan Hizir, dalam tempoh tiga bulan, seramai 70,000 umat Islam Andalusia berjaya diselamatkan dan dibawa ke Afrika Utara.

Seramai lebih 120,000 Umat Islam Andalusia berjaya diselamatkan secara berkala, lebih kurang 40% Umat Islam Andalusia telah berjaya diselamatkan oleh Khairuddin Pasha dan angkatannya.

Umat Islam Andalusia dianggarkan berjumlah 500,000 keseluruhannya, dan pada tahun 1609 sudah hampir tiada langsung umat Islam di Andalusia yang tersisa kerana ramai yang telah dibunuh atau murtad (sebilangan kecil).

Disebalik musibah yang menimpa Umat Islam Andalusia, Allah kirimkan penyelamatnya untuk menyelamatkan mereka yang benar-benar beriman dengan Islam.

Hizir dan saudaranya Oruc digelar "Lanun Berjanggut Merah" oleh tentera Sepanyol yang dengki melihat kejayaan mereka membantu memindahkan berpuluh-puluh ribu Umat Islam Andalusia yang tertindas.

Hizir Khairuddin Pasha berkata kepada tentera Sepanyol:

"Jika kerana membantu saudara-saudara Islam saya di Sepanyol lari ke Afrika Utara bagi menyelamatkan keimanan mereka, saya digelar "Si Lanun Berjanggut Merah", saya rela menerima gelaran itu dengan bangganya!".


PERGINYA SEORANG ADMIRAL UTHMANIYAH


Pada tahun 1545 masehi, Khairuddin Pasha mengambil keputusan untuk bersara daripada tugasannya dan menetap di Istanbul ketika berusia 67 tahun.

Sultan Sulaiman I Al-Qanuni telah melantik anak beliau Hassan Pasha untuk menggantikan tempat ayahnya sebagai Gabenor Jeneral di Algeria.

Baginda juga berkenan menghadiahkan sebuah istana di pantai Buyukdere berhampiran Istanbul dan pantai Selat Bosphorus sebagai menghargai jasa-jasanya kepada Daulah Turki Uthmaniyah.

Hizir Khairuddin Pasha Barbarossa telah menghabiskan usianya kira-kira 35 tahun berjuang menentang musuh-musuh Islam.

Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1546 ketika berusia 68 tahun, antara kata-kata terakhirnya seperti yang pernah diucapkan oleh Sayidina Khalid Al-Walid R.A iaitu:

"Aku telah berjuang dalam berpuluh-puluh tahun di medan peperangan memburu kematian pada jalan Allah. Tidak ada bahagian tubuhku yang tidak tercedera terkena tikaman senjata musuh. Ketika orang yang aku sayangi serta rakan-rakanku ramai yang gugur syahid, aku terpaksa menerima takdir Allah dan mati di atas tempat tidur dan bukannya di medan perang".

Berita kematian Panglima agung ini tersebar ke seluruh wilayah jajahan Turki dan ke seluruh negara-negara Islam. Masing-masing bersedih mendengar berita tersebut terutama keluarga dan kerabatnya serta Umat Islam Andalusia yang diselamatkannya, mereka tetap mengigati mengenang akan segala budi jasa baik beliau kepada mereka semua.

Sultan Sulaiman I Al-Qanuni turut berdukacita, baginda berkenan mencemar duli menziarahi Panglima agungnya dan memerintahkan agar Panglimanya itu dikebumikan menurut istiadat pahlawan negara.

Baginda juga menyampaikan titah kepada kaum kerabatnya agar bersabar terhadap ujian Allah swt. baginda Sultan berkata:

"Sesungguhnya kematian Laksamana Agung Khairuddin Barbarossa adalah satu kehilangan yang besar buat negara Turki Uthmaniyah. Beliau seorang panglima yang gagah berani serta mempunyai budi pekerti yang luhur. Beliau berjasa besar dalam mempertahankan kesucian agama Islam serta membela nasib umat Islam yang dizalimi. Jasa-jasa beliau pasti akan tetap diingati oleh umat Islam".

Begitulah berakhirnya kehidupan seorang pahlawan dan Admiral Uthmaniyah yang terkenal, Beliau pergi setelah sekian lama namanya menjadi igauan serta mimpi buruk kepada angkatan laut musuh.

Beliau meninggalkan jasa dan sumbangan yang begitu besar untuk Islam, bukan sahaja kepada Angkatan Tentera Laut Turki Uthmaniyah tetapi juga kepada seluruh umat Islam di zamannya.

Pemakaman Hizir Khairuddin Pasha terletak berhampiran Pelabuhan Besiktas, di sana terdapat sebuah mausoleum di Taman Barbaros di Besiktas dan juga terdapat sebuah Muzium Tentera Laut Turki.

Sehingga ke hari ini, setiap kali Angkatan Tentera Laut Turki hendak memulakan pelayaran, mereka akan melepaskan satu das tembakan meriam sebagai tanda penghormatan kepada pahlawan agung ini.

Nama beliau, Hizir Khairuddin telah menjadi nama kepada beberapa kapal perang Turki dan juga nama beliau telah diabadikan menjadi nama kepada ramai anak-anak generasi baru umat Islam Andalusia yang berjaya diselamatkannya di Afrika Utara.

Bagi yang berkesempatan, marilah kita ziarahi makam Panglima Agung Uthmaniyah ini di Istanbul Turki bagi mengenali beliau lebih dekat sekaligus memahami mendalami akan sumbangan dan jasa-jasanya yang masih terkesan sehingga ke hari ini.

- Khairuddin Pasha Barbarossa -


"Sultan Lautan Mediterranean"

Makam Khairuddin Pasha Barbarossa

Friday, 30 May 2014

MASJID TURKI DI JEPUN (MASJID CAMII TOKYO)


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّهِ وَبَرَكَاتُهُ


MUKADIMAH


Masjid Camii Tokyo adalah masjid kedua dan tertua di Jepun setelah Masjid Kobe, Masjid Camii Tokyo adalah sebuah Masjid terbesar di Jepun sehingga ke hari ini.

Masjid ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri kerana satu-satunya masjid yang memiliki seni bina Turki Uthmaniyah di Jepun.

Masjid ini terletak berhampiran dengan bandar metropolitan iaitu di Shibuya-ku, Oyama-chi di Tokyo





SEJARAH MASJID CAMII TOKYO

Wajah Masjid Camii yang lama
Masjid Camii ini sebenarnya telah direncanakan pembinaannya semenjak tahun 1908 lagi, tetapi ianya mula terlaksana dan dibina pada tahun 1938.

Masjid ini mula dibina selepas penghijrahan sebahagian etnik Turki ke Jepun, Mereka telah membina dan membuka sebuah penepatan komuniti islam tersendiri yang dipanggil "Mahalle-i Islamiye" (Daerah Islam).

Komuniti ini diketuai oleh Abdulhay Kurban Ali dan Abdurresid Ibrahim, Masyarakat Jepun pada ketika itu sangat memberi sokongan besar atas pembinaan masjid ini dari segi ekonomi dan sosial.



Masjid Camii ini pernah musnah dimakan usia pada tahun 1986 dan pembinaan baru Masjid Camii ini dilakukan semula pada tahun 1998 dan mula siap sepenuhnya pada tahun 2000, segala pembiayaan ditanggung oleh Kerajaan Turki.

Masjid ini diletakkan dibawah pengurusan "Turkish Directorate of Religious Affairs" iaitu sebuah badan organisasi muslim Turki.

Manakala urus tadbir pembinaan masjid ini dilakukan oleh warga Jepun dan Turki iaitu Sumio Ito dan Akira Wakabayasi (Jepun) dengan Sami Goren (Turki).





SENI BINA MASJID CAMII TOKYO





Senibina Masjid Camii ini hasil lakaran akrkitek dari Turki iaitu Muharrem Hilmi Senalp yang bercirikan senibina Turki Uthmaniyah.

Masjid Camii ini dibina berdasarkan senibina Turki-Islamik (Seni Turki Uthmaniyah), iaitu satu kubah utama dan dikelilingi enam kubah semi.

Seni gubahan dalaman masjid mirip dengan Aya-Sofia, di ruangan tengah ruang solat dihiasi dengan chandelier yang dibawakan khas dari Turki.

Setiap pangkal tiang dihiaskan dengan teliti, Seni Mukarnas atau ukuran stalaktit digunakan bagi membentuk unjuran poligon-poligon hingga ke sisi kubah semi.
  
Masjid ini terbahagi kepada dua segmen utama, iaitu dewan solat di atas, manakala ditingkat bawah terdapat sebuah pusat kebudayaan melingkungi (dewan makan, pejabat, lobi, taman mini, tandas dan tempat Wudu'), Ruang solat untuk muslimah juga disediakan di tingkat atas dalam dewan solat, mampu memuatkan 40-50 orang jemaah dalam satu masa.

AKTIVITI MASJID CAMII TOKYO



Masjid Camii ini menjadi pusat berkumpul pelbagai komuniti islam di Jepun, ianya sering menjadi tumpuan orang-orang Islam dari Malaysia, Indonesia, Pakistan serta Turki. komuniti islam terbesar di Jepun adalah Komuniti islam etnik Turki.

Selain mengadakan solat lima waktu dan solat Jumaat, ianya juga dibuka untuk para pelancong melawati masjid ini, dan pada hari jumaat untuk solat jumaat, masjid ini juga terbuka untuk masyarakat Jepun melihat dari dekat akan perlaksaan solat jumaat berjemaah dan untuk mereka yang ingin mendalami tentang islam.

Masjid ini dijadikan pusat kebudayaan Turki, pusat informasi dan festival islam, juga menjadi pusat ilmu islam kerana ada dibuka kelas-kelas pengajiaan Al-Quran dan pengetahuan Islam.


AKHIR KALAM

Masjid Camii Tokyo adalah masjid yang penuh bersejarah di Jepun, ianya menceritakan perhubungan keakraban antara Kerajaan Kesultanan Turki Uthmaniyah dengan Kerajaan Maharaja Jepun.

Sehingga ke hari ini, selepas kembali dibagunkan semenjak tahun 2000, Masjid ini telah diberi nafas baru dan perkembangannya semakin berkembang maju, Masjid Camii ini juga telah menjadi Produk pelancongan utama kerajaan Jepun kepada seluruh dunia.

Marilah kita menziarahi sebuah Masjid bersejarah peninggalan Turki Uthmaniyah yang tunggal dan kekal sehingga ke hari ini di Tokyo Jepun.

"Inilah Masjid Kembar Turki Uthmaniyah di Jepun"


WAKIL TURKI UTHMANIYAH SINGAPURA: SYED MOHAMED BIN AHMAD AL-SAGOFF


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّهِ وَبَرَكَاتُهُ


MUKADIMAH




Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Sagoff merupakan seorang tokoh islam profesional termasyhur dalam sejarah Singapura, beliau adalah berketurunan Arab Yaman dan dikenali sebagai keluarga Al-Sagoff.

Beliau mempunyai personaliti yang membanggakan dari pelbagai segi kehidupan seharian kerana beliau tergolong dari kalangan individu berpengaruh sama ada di dalam dan luar negara.


RIWAYAT HIDUP

Syed Mohamed bin Ahmad  Al-Sagoff telah dilahirkan pada tahun 1836 di Singapura.

Beliau mempunyai susur galur keluarga yang istimewa, iaitu keturunan di sebelah ayah beliau, Syed Ahmad bin Abdul Rahman Al-Sagoff adalah berasal daripada keluarga Arab Yaman berketurunan Al-Sagoff yang kaya-raya serta berpengaruh.

Keluarga ayahnya mempunyai perniagaan dan perdagangan sendiri yang diwarisi daripada datuknya, Syed Abdul Rahman Al-Sagoff yang menjalankan perdagangan rempah di sekitar Asia Tenggara yang dikenali sebagai Malay Archipelago (Malaysia, Singapura, Jawa, Sumatra, Sulawesi dan beberapa pulau di Indonesia) dan Eropah.

Sejarah kedatangan keluarga Al-Sagoff ke Singapura bermula daripada ayahnya iaitu Syed Ahmad  bin Abdul Rahman Al-Sagoff yang berasal dari Yaman berhijrah ke Singapura pada tahun 1824, pada tahun tersebut, Singapura dibawah pentadbiran Gabenor British iaitu Sir Stamford Raffles telah mengisytiharkan bahawa Singapura sebagai sebuah hub pelabuhan bebas kepada semua bangsa yang menjalankan urusan perdagangan di Singapura.

Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Sagoff mempunyai tujuh orang anak iaitu tiga lelaki dan empat perempuan.

Anak-anak Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Sagoff adalah:

  • Syed Ahmad Al-Sagoff
  • Syed Hassan Al-Sagoff
  • Syed Ali Zainal Abidin Al-Sagoff
  • Sharifah Baheah Al-Sagoff
  • Sharifah Zain Asharoff Al-Sagoff
  • Sharifah Aminah Al-Sagoff
  • Sharifah Fatimah Al-Sagoff


PENUBUHAN "AL-SAGGOF & COMPANY"

Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Sagoff adalah individu bertanggungjawab dalam mengasaskan sebuah pertubuhan syarikat perniagaannya yang berpengaruh iaitu Al-Saggof & Company pada tahun 1848 di singapura demi menyelaraskan segala pengurusan yang berkaitan dengan perniagaan dan perdagangan keluarga Al-Sagoff.

Syarikat tersebut telah berjaya menguruskan sebahagian besar daripada eksport import negeri-negeri selat seperti kayu balak dari negeri-negeri selat untuk dihantar ke Arab dan Eropah.

Syarikatnya juga berperanan mengimport rempah dari Banda dan pulau-pulau Moliku di India dan mengeksport pelbagai hasil pertanian seperti getah,sagu,kopi,koko,nenas dan kelapa.

Segala urusan perdagangan import-eksport ini dilakukan syarikatnya dengan mengunakan kapal-kapal dagangannya sendiri.


HUBUNGAN DENGAN SULTAN ABU BAKAR



Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Safoff mempunyai pengaruh dan hubungan baik dengan Sultan Johor iaitu Sultan Abu Bakar.


Beliau sering mengiringi Sultan Abu Bakar apabila baginda mempunyai urusan di luar negeri. Beliau bukan sahaja sebagai rakan karib baginda, malah turut bertindak membantu baginda sebagai peminjam wang kepada Sultan Abu Bakar ketika baginda membuat lawatan ke Eropah.

Hasil hubungan rapatnya dengan Sultan Johor, Sultan Abu Bakar dengan bermurah hati mengurniakan kepadanya sebidang tanah kepada Syed Mohamed Al-Sagoff untuk dijadikan kawasan pertanian tanpa perlu dibayar. Beliau telah mendapat sebidang tanah yang dipanggil “Al-Sagof Concession Kukup” (tanah konsesi Kukup) di Kukup, Pontian Johor pada tahun 1878.

Keluasan tanah kurnian Kukup ini dianggarkan sebanyak 45,000 ekar pada tahun tersebut mengikut sempadan yang telah diberikan oleh Sultan Abu Bakar.

Syed Mohamed Al-Sagoff turut dikurniakan sebidang tanah lagi di Kampung Nong Chik, Johor Bahru, Johor (1884). 

Nama kampung tersebut diambil bersempena nama timang-timangan beliau dan ia turut diabadikan sebagai nama jalan, iaitu Jalan Nong Chik, Johor Bahru.

Dua jalan lagi dinamakan Jalan Al-Sagoff di Pontian, Johor, Malaysia (1878) dan Jalan Al-Sagoff (1979) di Geylang Serai, Singapura.

Syed Mohamed Al-Sagoff termasuk antara enam orang yang menerima Pingat Darjah Kebesaran Johor (DK) pada tahun 1886. Pingat ini merupakan julung kali dikeluarkan dan ia sepatutnya diterima oleh Kerabat Diraja Johor sahaja.


Sultan Abu Bakar (Sultan Johor)

HUBUNGAN DENGAN SULTAN ABDUL HAMID II




Pengaruh dan peranan empayar keluarga Al-Sagoff ini telah berkembang maju dan melebar luas ke peringkat antarabangsa seperti di Malaysia, Indonesia, Mekkah, China, Turki dan Eropah.

Pada awal penglibatannya sebagai tokoh korporat, beliau mempunyai hubungan dan pengaruh yang kuat dengan Konstantinople (Istanbul) terutamanya dengan Sultan Turki Uthmaniyyah ketika itu iaitu Sultan Abdul Hamid II.

Peranannya di peringkat antarabangsa adalah sebagai "Honorary Consul General" (Ketua Duta Kehormat) untuk Kerajaan Turki Uthmaniyah di Singapura pada tahun 1880 ketika pemerintahan Sultan Abdul Hamid II.

Secara tidak langsung, Syed Mohamed Al-Sagoff dikenali sebagai wakil Turki Uthmaniyah di Singapura.

Berdasarkan kecemerlangan perkhidmatannya, beliau telah dikurniakan "Osmaniah Order" (darjah penghormatan) oleh Sultan Abdul Hamid II (Sultan Kerajaan Turki Uthmaniyyah).

Pengaruh Kerajaan Turki Uthmaniyah berkembang pesat di Singapura dan Tanah melayu hasil kepimpinan Syed Mohamed Al-Saggof.

Selaku diplomat kehormat mewakili Kerajaan Turki Uthmaniyah, Syed Mohamed Al-Saggof bertanggungjawab dalam membawa perutusan Sultan Uthmaniyah, fatwa Syeikhul Islam dan urusan diplomatik Turki Uthmaniyah kepada Singapura dan rantau Nusantara.




SUMBANGAN SYED MOHAMED AL-SAGOFF DI SINGAPURA


Syed Mohamed Al-Sagoff merupakan seorang jutawan yang dermawan, beliau banyak mengasaskan beberapa pertubuhan kebajikan dan beberapa kebajikan lain yang masih dapat dilihat sehingga ke hari ini di singapura iaitu:

(1) Hotel Raffles



Pada asalnya Hotel ini adalah rumah banglo milik persendirian keluarga Inggeris yang dibeli oleh Syed Mohamed Al-Sagoff pada tahun 1870.

Terletak di Beach Road, sekarang dijadikan Muzium bersejarah oleh kerajaan singapura.

(2) Pembinaan Makam Habib Nuh Al-Habsyi




Beliau memberi sumbangan besar kepada pembinaan Makam Habib Nuh pada tahun 1890.

Habib Nuh meninggal pada tahun 1866 dan makamnya terletak di Palmer Road, Tanjung Pagar Singapura.

(3) Muslim Trust Found Association (MTFA)




MTFA ditubuhkan pada 31 ogos 1904, asbab penubuhannya adalah kerana di singapura masih belum wujud lagi sebuah pertubuhan kebajikan bagi orang Islam yang miskin dan golongan yang kurang bernasib baik seperti anak-anak Yatim Islam di Singapura. Oleh itu, perlunya diwujudkan sebuah pertubuhan yang beperanan menjaga kebajikan bagi golongan tersebut.

(4) Syed Mohamed Al-Sagoff Wakaff Fund
 (SMA Wakaff Fund)





Wakaf Fund ini ditubuhkan pada tahun 1906 yang termaktub dalam wasiat Syed Mohamed Alsagoff dan wasiat asal tersebut telah dibuat pada 24 November 1902 tetapi ia hanya berkuatkuasa secara rasmi selepas kematiannya pada tahun 1906.

Tabung ini ditubuhkan untuk menjaga segala aset harta yang dimiliki oleh beliau meliputi keuntungan perdagangan kapal-kapal besar, barang-barang import dan hartanah serta harta bagi para warisnya.


Wakaf Fund ini telah diberi sepenuh pengurusannya kepada Syed Omar bin Mohamed Alsagoff serta Syed Ali bin Mohamed Alsagoff (1906).

Kini pengurusannya dijaga oleh kerajaan singapura di bawah seliaan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

(5) Madrasah Al-Sagoff Al-Arabiah



Ilham dan hasrat membina madrasah dicetuskan oleh Syed Mohamed As-Sagoff, Namun, Syed Mohamed Al-Sagoff tidak dapat meneruskan niatnya itu kerana beliau telah meninggal dunia sebelum sempat rancangan pembinaan madrasah dijalankan. 

Proses pembinaan madrasah ini telah diuruskan oleh Syed Omar bin Ahmed Alsagoff (1850-1927) selaku (pelaksana wasiat) kepada Syed Mohamed Alsagoff. pembinaannya dilakukan di tanah wakaf pemberian Syed Mohamed Al-Sagoff.


Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dibina di Jalan Sultan, terletak berhampiran Masjid Hajjah Fatimah, Istana Kampung Glam dan Masjid Sultan pada tahun 1912.

Madrasah tersebut telah dibuka secara rasmi oleh Gabenor Selat di Singapura pada tahun 1913.


Madrasah Al-Sagoff Al-Arabiah adalah tertakluk di bawah penyeliaan Syed Abdul Rahman bin Taha Al-Sagoff (1880-1955)

Madrasah Al-Sagoff Al-Arabiah mula beroperasi sejak tahun 1912 sehingga sekarang.


KESIMPULAN

Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Sagoff

Secara kesimpulannya, Syed Mohamed Al-Sagoff merupakan tokoh termashyur di Singapura yang mempunyai personaliti yang menarik dalam mengembangkan perdagangan dan pengaruh keluarganya. 

Walaupun beliau bukanlah ulama atau tokoh pendidikan, beliau dapat menonjolkan diri sebagai seorang jutawan yang kaya raya dengan mempunyai eset tersendiri, iaitu mempunyai perniagaan dan perdagangan bagi hasil pertanian dan ejen hartanah. 

Perdagangan beliau bukan sahaja berkembang pesat di Singapura, bahkan beliau dapat melebarkan sayap perniagaannya sehingga ke Eropah. Peluang sebegini yang membuatkan Syed Mohamed Al-Sagoff mempunyai pengaruh yang kuat dari segi politik dan ekonomi. 

Penghormatan dan darjah kebesaran yang diterima beliau menunjukkan bahawa beliau merupakan individu yang berstatus tinggi dan terhormat.

Namun begitu, kekayaan dan pengaruh besar yang dimilikinya tidak membuatkan beliau lupa diri dan menyombong. Malah segala harta kekayaan beliau telah disumbangkan ke arah yang baik dengan penubuhan Madrasah Alsagoff al-Arabiah, Tabung Wakaf SMA, MFTA, rumah anak-anak yatim, membina makam bagi waliyullah di Singapura dan penubuhan Hotel Raffles. Sumbangan tersebut dapat dirasai oleh masyarakat Islam khasnya dan masyarakat umum amnya sehingga hari ini.


"The Empire of Al-Sagoff Family"