Friday 30 May 2014

WAKIL TURKI UTHMANIYAH SINGAPURA: SYED MOHAMED BIN AHMAD AL-SAGOFF


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّهِ وَبَرَكَاتُهُ


MUKADIMAH




Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Sagoff merupakan seorang tokoh islam profesional termasyhur dalam sejarah Singapura, beliau adalah berketurunan Arab Yaman dan dikenali sebagai keluarga Al-Sagoff.

Beliau mempunyai personaliti yang membanggakan dari pelbagai segi kehidupan seharian kerana beliau tergolong dari kalangan individu berpengaruh sama ada di dalam dan luar negara.


RIWAYAT HIDUP

Syed Mohamed bin Ahmad  Al-Sagoff telah dilahirkan pada tahun 1836 di Singapura.

Beliau mempunyai susur galur keluarga yang istimewa, iaitu keturunan di sebelah ayah beliau, Syed Ahmad bin Abdul Rahman Al-Sagoff adalah berasal daripada keluarga Arab Yaman berketurunan Al-Sagoff yang kaya-raya serta berpengaruh.

Keluarga ayahnya mempunyai perniagaan dan perdagangan sendiri yang diwarisi daripada datuknya, Syed Abdul Rahman Al-Sagoff yang menjalankan perdagangan rempah di sekitar Asia Tenggara yang dikenali sebagai Malay Archipelago (Malaysia, Singapura, Jawa, Sumatra, Sulawesi dan beberapa pulau di Indonesia) dan Eropah.

Sejarah kedatangan keluarga Al-Sagoff ke Singapura bermula daripada ayahnya iaitu Syed Ahmad  bin Abdul Rahman Al-Sagoff yang berasal dari Yaman berhijrah ke Singapura pada tahun 1824, pada tahun tersebut, Singapura dibawah pentadbiran Gabenor British iaitu Sir Stamford Raffles telah mengisytiharkan bahawa Singapura sebagai sebuah hub pelabuhan bebas kepada semua bangsa yang menjalankan urusan perdagangan di Singapura.

Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Sagoff mempunyai tujuh orang anak iaitu tiga lelaki dan empat perempuan.

Anak-anak Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Sagoff adalah:

  • Syed Ahmad Al-Sagoff
  • Syed Hassan Al-Sagoff
  • Syed Ali Zainal Abidin Al-Sagoff
  • Sharifah Baheah Al-Sagoff
  • Sharifah Zain Asharoff Al-Sagoff
  • Sharifah Aminah Al-Sagoff
  • Sharifah Fatimah Al-Sagoff


PENUBUHAN "AL-SAGGOF & COMPANY"

Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Sagoff adalah individu bertanggungjawab dalam mengasaskan sebuah pertubuhan syarikat perniagaannya yang berpengaruh iaitu Al-Saggof & Company pada tahun 1848 di singapura demi menyelaraskan segala pengurusan yang berkaitan dengan perniagaan dan perdagangan keluarga Al-Sagoff.

Syarikat tersebut telah berjaya menguruskan sebahagian besar daripada eksport import negeri-negeri selat seperti kayu balak dari negeri-negeri selat untuk dihantar ke Arab dan Eropah.

Syarikatnya juga berperanan mengimport rempah dari Banda dan pulau-pulau Moliku di India dan mengeksport pelbagai hasil pertanian seperti getah,sagu,kopi,koko,nenas dan kelapa.

Segala urusan perdagangan import-eksport ini dilakukan syarikatnya dengan mengunakan kapal-kapal dagangannya sendiri.


HUBUNGAN DENGAN SULTAN ABU BAKAR



Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Safoff mempunyai pengaruh dan hubungan baik dengan Sultan Johor iaitu Sultan Abu Bakar.


Beliau sering mengiringi Sultan Abu Bakar apabila baginda mempunyai urusan di luar negeri. Beliau bukan sahaja sebagai rakan karib baginda, malah turut bertindak membantu baginda sebagai peminjam wang kepada Sultan Abu Bakar ketika baginda membuat lawatan ke Eropah.

Hasil hubungan rapatnya dengan Sultan Johor, Sultan Abu Bakar dengan bermurah hati mengurniakan kepadanya sebidang tanah kepada Syed Mohamed Al-Sagoff untuk dijadikan kawasan pertanian tanpa perlu dibayar. Beliau telah mendapat sebidang tanah yang dipanggil “Al-Sagof Concession Kukup” (tanah konsesi Kukup) di Kukup, Pontian Johor pada tahun 1878.

Keluasan tanah kurnian Kukup ini dianggarkan sebanyak 45,000 ekar pada tahun tersebut mengikut sempadan yang telah diberikan oleh Sultan Abu Bakar.

Syed Mohamed Al-Sagoff turut dikurniakan sebidang tanah lagi di Kampung Nong Chik, Johor Bahru, Johor (1884). 

Nama kampung tersebut diambil bersempena nama timang-timangan beliau dan ia turut diabadikan sebagai nama jalan, iaitu Jalan Nong Chik, Johor Bahru.

Dua jalan lagi dinamakan Jalan Al-Sagoff di Pontian, Johor, Malaysia (1878) dan Jalan Al-Sagoff (1979) di Geylang Serai, Singapura.

Syed Mohamed Al-Sagoff termasuk antara enam orang yang menerima Pingat Darjah Kebesaran Johor (DK) pada tahun 1886. Pingat ini merupakan julung kali dikeluarkan dan ia sepatutnya diterima oleh Kerabat Diraja Johor sahaja.


Sultan Abu Bakar (Sultan Johor)

HUBUNGAN DENGAN SULTAN ABDUL HAMID II




Pengaruh dan peranan empayar keluarga Al-Sagoff ini telah berkembang maju dan melebar luas ke peringkat antarabangsa seperti di Malaysia, Indonesia, Mekkah, China, Turki dan Eropah.

Pada awal penglibatannya sebagai tokoh korporat, beliau mempunyai hubungan dan pengaruh yang kuat dengan Konstantinople (Istanbul) terutamanya dengan Sultan Turki Uthmaniyyah ketika itu iaitu Sultan Abdul Hamid II.

Peranannya di peringkat antarabangsa adalah sebagai "Honorary Consul General" (Ketua Duta Kehormat) untuk Kerajaan Turki Uthmaniyah di Singapura pada tahun 1880 ketika pemerintahan Sultan Abdul Hamid II.

Secara tidak langsung, Syed Mohamed Al-Sagoff dikenali sebagai wakil Turki Uthmaniyah di Singapura.

Berdasarkan kecemerlangan perkhidmatannya, beliau telah dikurniakan "Osmaniah Order" (darjah penghormatan) oleh Sultan Abdul Hamid II (Sultan Kerajaan Turki Uthmaniyyah).

Pengaruh Kerajaan Turki Uthmaniyah berkembang pesat di Singapura dan Tanah melayu hasil kepimpinan Syed Mohamed Al-Saggof.

Selaku diplomat kehormat mewakili Kerajaan Turki Uthmaniyah, Syed Mohamed Al-Saggof bertanggungjawab dalam membawa perutusan Sultan Uthmaniyah, fatwa Syeikhul Islam dan urusan diplomatik Turki Uthmaniyah kepada Singapura dan rantau Nusantara.




SUMBANGAN SYED MOHAMED AL-SAGOFF DI SINGAPURA


Syed Mohamed Al-Sagoff merupakan seorang jutawan yang dermawan, beliau banyak mengasaskan beberapa pertubuhan kebajikan dan beberapa kebajikan lain yang masih dapat dilihat sehingga ke hari ini di singapura iaitu:

(1) Hotel Raffles



Pada asalnya Hotel ini adalah rumah banglo milik persendirian keluarga Inggeris yang dibeli oleh Syed Mohamed Al-Sagoff pada tahun 1870.

Terletak di Beach Road, sekarang dijadikan Muzium bersejarah oleh kerajaan singapura.

(2) Pembinaan Makam Habib Nuh Al-Habsyi




Beliau memberi sumbangan besar kepada pembinaan Makam Habib Nuh pada tahun 1890.

Habib Nuh meninggal pada tahun 1866 dan makamnya terletak di Palmer Road, Tanjung Pagar Singapura.

(3) Muslim Trust Found Association (MTFA)




MTFA ditubuhkan pada 31 ogos 1904, asbab penubuhannya adalah kerana di singapura masih belum wujud lagi sebuah pertubuhan kebajikan bagi orang Islam yang miskin dan golongan yang kurang bernasib baik seperti anak-anak Yatim Islam di Singapura. Oleh itu, perlunya diwujudkan sebuah pertubuhan yang beperanan menjaga kebajikan bagi golongan tersebut.

(4) Syed Mohamed Al-Sagoff Wakaff Fund
 (SMA Wakaff Fund)





Wakaf Fund ini ditubuhkan pada tahun 1906 yang termaktub dalam wasiat Syed Mohamed Alsagoff dan wasiat asal tersebut telah dibuat pada 24 November 1902 tetapi ia hanya berkuatkuasa secara rasmi selepas kematiannya pada tahun 1906.

Tabung ini ditubuhkan untuk menjaga segala aset harta yang dimiliki oleh beliau meliputi keuntungan perdagangan kapal-kapal besar, barang-barang import dan hartanah serta harta bagi para warisnya.


Wakaf Fund ini telah diberi sepenuh pengurusannya kepada Syed Omar bin Mohamed Alsagoff serta Syed Ali bin Mohamed Alsagoff (1906).

Kini pengurusannya dijaga oleh kerajaan singapura di bawah seliaan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

(5) Madrasah Al-Sagoff Al-Arabiah



Ilham dan hasrat membina madrasah dicetuskan oleh Syed Mohamed As-Sagoff, Namun, Syed Mohamed Al-Sagoff tidak dapat meneruskan niatnya itu kerana beliau telah meninggal dunia sebelum sempat rancangan pembinaan madrasah dijalankan. 

Proses pembinaan madrasah ini telah diuruskan oleh Syed Omar bin Ahmed Alsagoff (1850-1927) selaku (pelaksana wasiat) kepada Syed Mohamed Alsagoff. pembinaannya dilakukan di tanah wakaf pemberian Syed Mohamed Al-Sagoff.


Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dibina di Jalan Sultan, terletak berhampiran Masjid Hajjah Fatimah, Istana Kampung Glam dan Masjid Sultan pada tahun 1912.

Madrasah tersebut telah dibuka secara rasmi oleh Gabenor Selat di Singapura pada tahun 1913.


Madrasah Al-Sagoff Al-Arabiah adalah tertakluk di bawah penyeliaan Syed Abdul Rahman bin Taha Al-Sagoff (1880-1955)

Madrasah Al-Sagoff Al-Arabiah mula beroperasi sejak tahun 1912 sehingga sekarang.


KESIMPULAN

Syed Mohamed Bin Ahmad Al-Sagoff

Secara kesimpulannya, Syed Mohamed Al-Sagoff merupakan tokoh termashyur di Singapura yang mempunyai personaliti yang menarik dalam mengembangkan perdagangan dan pengaruh keluarganya. 

Walaupun beliau bukanlah ulama atau tokoh pendidikan, beliau dapat menonjolkan diri sebagai seorang jutawan yang kaya raya dengan mempunyai eset tersendiri, iaitu mempunyai perniagaan dan perdagangan bagi hasil pertanian dan ejen hartanah. 

Perdagangan beliau bukan sahaja berkembang pesat di Singapura, bahkan beliau dapat melebarkan sayap perniagaannya sehingga ke Eropah. Peluang sebegini yang membuatkan Syed Mohamed Al-Sagoff mempunyai pengaruh yang kuat dari segi politik dan ekonomi. 

Penghormatan dan darjah kebesaran yang diterima beliau menunjukkan bahawa beliau merupakan individu yang berstatus tinggi dan terhormat.

Namun begitu, kekayaan dan pengaruh besar yang dimilikinya tidak membuatkan beliau lupa diri dan menyombong. Malah segala harta kekayaan beliau telah disumbangkan ke arah yang baik dengan penubuhan Madrasah Alsagoff al-Arabiah, Tabung Wakaf SMA, MFTA, rumah anak-anak yatim, membina makam bagi waliyullah di Singapura dan penubuhan Hotel Raffles. Sumbangan tersebut dapat dirasai oleh masyarakat Islam khasnya dan masyarakat umum amnya sehingga hari ini.


"The Empire of Al-Sagoff Family"

5 comments:

  1. AL-FATIHAH, SEMOGA ARWAH DITEMPATKAN BERSAMA ORANG-ORANG BERIMAN

    ReplyDelete
  2. Semoga dengan Usaha beliau dapat mempergiatkan perkembangan Ugama Islam di Bumi Temasik, Si Ga Pu Ra (empat panglima garang)

    ReplyDelete
  3. Alhamdulliah Terima Kasih Yang Banyak.Tulisan nya begitu baik Dan Mudah difahami ,telah memberikan feadah kepada anak Cucu Dan cicit Allahyarham Dan Sangat2 besar feadah bagi pengkaji Sejarah Singapura

    ReplyDelete
  4. Saya mencari waris kepada Syed Kamal Bin Syed Jaafar atau Sharifah Zaleha yang berketurunan Al Sagoff. Boleh hubungi saya melalui email syaffinger01@gmail.com

    ReplyDelete
  5. Sy waris dr Malaysia cucu kpd Syed Ahmad Alsagoff bin Syed Mohamed Alsagoff (Nong Chik) terima kasih kepada pengkaji sejarah.... semoga menjadi tauladan kdp generasi yg akn datang...

    ReplyDelete