Syeikh Mutawalli
Sya’rawi Rahimahullah...
Pada masa dahulu, suatu muktamar Islami yang menghimpunkan
para ulama’ muslimin telah dijalankan dalam tempoh selama seminggu. Syeikh Sya’rawi adalah di antara tokoh ulama’ Mesir yang dijemput untuk meghadiri
muktamar tersebut.
Pada hari pertama muktamar, Syeikh Sya’rawi telah melihat
pada diri pengerusi muktamar tersebut yang juga merupakan seorang ulama’ suatu
perubahan besar dari segi keilmuannya dan makrifah yang tidak ada pada
masa-masa sebelumnya,Lalu syeikh bangun menuju ke podium dan berkata, “Aku
akan mengajukan suatu soalan kepada kamu dan aku inginkan jawapannya. Soalannya
ialah : Ke manakah perginya air mandian jasad Rasulullah SAW?”. Iaitu yang
dimaksudkan beliau ialah air yang digunakan ketika dimandikan jenazah Baginda
SAW.
Akan tetapi apabila soalan itu diajukan, tidak ada sesiapa
yang menjawabnya. Semua orang senyap dan berdiam diri kerana tidak tahu akan
jawapannya. Pengerusi muktamar itu juga merasa sangat terkejut dengan soalan
tersebut dan mengatakan dalam dirinya, “Bagaimana aku tidak mengetahui akan
jawapan soalan ini?”.Lalu beliau mengambil jalan keluar daripada persoalan ini
dengan mengatakan, “Berikan kami peluang masa,kami akan jawab soalan kamu pada
pertemuan esok insya ALLAH”.
Maka beliau pun pulang ke rumahnya dan tidak melakukan
apa-apa selain daripada terus memasuki perpustakaan khasnya untuk mencari,
meneliti dan membelek kitab-kitab bagi mencari jawapan kepada persoalan itu.
Beliau telah menghabiskan masa yang lama dalam pencariannya, hingga diselubungi
keletihan dan akhirnya terlelap tidur di atas kitab yang dibacanya.
Ketikamana ulama’ itu tidur, Rasulullah SAW telah datang
bertemunya dalam mimpi dan bersama baginda seorang lelaki yang memegang sebuah
lampu pelita. Maka dengan segera beliau menuju kepada Rasulullah SAW dan
bertanya, “Ya Rasulullah, ke manakah perginya air mandian jasadmu?”. Lalu
Baginda SAW mengisyaratkan kepada lelaki pemegang lampu pelita yang berada di
sisinya (supaya menjawab soalan itu).Kemudian lelaki itu pun menjawab, “Air
mandian Rasulullah SAW menyejat naik ke langit dan kemudian turun ke bumi dalam
bentuk hujan. Setiap titisannya yang jatuh ke bumi, dibina di tempat itu
masjid”.
Maka, terjagalah beliau daripada tidurnya dalam keadaan yang
sangat gembira kerana telah mengetahui jawapan kepada persoalan tersebut.
Keesokkan harinya,pengerusi muktamar itu hadir untuk hari
kedua dan menunggu persoalan yang telah dilontarkan oleh Syeikh Sya’rawi untuk
diutarakan semula.Akan tetapi syeikh tidak bertanya.Di hujung muktamar pada
hari kedua, akhirnya beliau bangun dan berkata kepada syeikh Sya’rawi,“Kelmarin kamu telah bertanyakan satu soalan. Adakah kamu ingin mengetahui
jawapannya?”.
Syeikh berkata:“Adakah kamu mengetahui jawapannya?”
Beliau menjawab:“Ya”
Syeikh bertanya:“Maka ke manakah perginya air mandian
Rasulullah SAW?”
Beliau menjawab:“Air mandian Rasulullah SAW menyejat naik
ke langit dan kemudian turun ke bumi dalam bentuk hujan. Setiap titisannya yang
jatuh ke bumi, dibina di tempat itu masjid”
Syeikh bertanya lagi:“Bagaimana kamu mengetahuinya?”
Beliau menjawab:“Rasulullah SAW telah datang kepadaku
dalam mimpi (memberitahukan jawapannya)”
Syeikh berkata:“Bahkan seorang lelaki yang memegang lampu
pelita yang menjawab kepada kamu”
Maka ulama’ itu terus merasa terperanjat dan terpegun,lalu
bertanya,“Bagaimana kamu mengetahui perkara itu?”
Lalu Syeikh Sya’rawi menjawab bahawa beliaulah lelaki yang
memegang lampu pelita yang berada di sisi Rasulullah SAW dalam mimpi ulama’
itu.
Peristiwa ini telah memberikan kesan yang cukup mendalam
kepada para hadirin dalam muktamar tersebut dan memeranjatkan semua orang.Hal
ini menunjukkan kedudukan maqam yang tinggi beliau di sisi ALLAH Taala dan
RasulNya.
kisah ini diceritakan sendiri oleh ulama’ yang menjadi
pengerusi muktamar itu.